SEJARAH SMK BENUT ?


SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Benut telah ditubuhkan pada 14 Januari 1965. Hal ini adalah selaras dengan Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun tersebut. Penubuhan sekolah ini telah dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar menengah di kawasan Benut. Sekolah Menengah Kebangsaan Benut merupakan sebuah sekolah yang terletaknya di kawasan luar bandar, 14 km dari pekan Rengit, 25 km dari Pontian dan 24 km dari Simpang Renggam. Sekolah ini menampung pelajar-pelajar di kawasan perjalanan dari Parit Betak, Pekan Tampok sehinggalah ke Ayer Baloi di selatan dan sepanjang Jalan Parit Ismail di utara.

Pada mulanya sekolah ini diasaskan dengan menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Benut yang terletak berhampiran dengan bangunan sekolah yang ada sekarang. Pengetua yang pertama mentadbirkan sekolah ini ialah Encik Mahapar Bin Haji Manaf yang dibantu oleh dua orang guru latihan maktab, tiga orang guru pelatih dan dua orang guru sementara. Pada tahun petama (1965), jumlah murid yang memasuki tingkatan satu ialah seramai 145 orang di dalam 14 buah kelas. Pada tahun kedua jumlah murid meningkat kepada 373 orang termasuk 70 orang murid yang mengikuti kelas aliran Bahasa Inggeris. Dengan itu sekolah ini mempunyai dua aliran, iaitu Kebangsaan dan Inggeris.

Pertambahan jumlah murid menyebabkan timbulnya masalah kekurangan bilik darjah. Masalah dapat diatasi dengan menempatkan sebahagian besar muridnya ke sekolah cawangan baru yang berhampiran, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Lork York, Benut. Pada tahun 1967, jumlah muridnya meningkat kepada 573 orang. Masalah kekurangan bilik darjah yang berlaku pada tahun tersebut telah dapat diatasi dengan menempatkan sebahagian murid sekolah ini ke sekolah cawangan lain, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Lork Yu 1, Parit Tengah, Benut. Oleh itu, sehingga tahun 1967, pentadbiran sekolah ini telah dilaksanakan di tiga buah sekolah yang berasingan iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Benut, SRJK Lork York Benut dan SRJK Lork Yu 1 Parit Tengah Benut. Pada pertengahan bulan Mei 1967, Pengetua sekolah ini, iaitu Encik Mahpar telah menamatkan perkhidmatannya kerana melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh Pengetua yang baru, iaitu Encik Abdul Karim Bin Mohd Yassin.

Projek pembinaan bangunan sekolah ini telah dimulakan pada tahun 1967, di satu kawasan seluas 14 ekar yang terletak di Jalan Jaafar. Bangunan ini mengandungi dua blok, telah siap pembinaannya pada akhir tahun tersebut. Tahun 1965 merupakan lembaran baru dalams sejarah sekolah ini kerana pada tahun tersebut pentadbiran dan pusat belajar telah dipindahkan ke bangunan yang baru siap pembinaanya itu. Bangunan baru ini mempunyai 10 bilik darjah termasuk sebuah pejabat dan lain-lain. Pada tahun tersebut jumlah penuntutnya telah meningkat kepada 667 orang. Untuk melicinkan pentadbiran pihak sekolah telah menjalankan dua sessinya, iaitu pagi dan petang. Untuk melaksanakan sistem pendidikan aneka jurusan, pelajar Sains Pertanian dan Sains Rumah Tangga telah diperkenalkan memandangkan adanya kemudahan yang disediakan di bangunan yang baru itu.
Menjelang akhir tahun 1968, pentadbiran sekolah ini sekali lagi mengalami perubahan apabila Pengetua, iaitu Encik Abdul Karim Bin Mohd Yassin bertukar menjadi Guru Besar di Sekolah Rendah Tengku Mahmud Iskandar, Pontian. Tempat beliau digantikan oleh Tuan Haji Abdullah Bin Abd. Rahman. Untuk mengemaskinikan pentadbiran sekolah, seorang kerani dan beberapa orang tukang kebun telah di tempatkan bekerja di sekolah ini. Jumlah penuntut pada tahun 1969 ialah seramai 753 orang dan pada tahun ini juga kelas tingkatan empat telah dimulakan. Pada tahun ini juga projek memagar kawasan sekolah dan padang permainan telah disiapkan.

Menjelang tahun 1970, sekali lagi masalah kekurangan bilik darjah telah timbul. Masalah ini dapat diatasi dengan menempatkan tiga kelas peralihan Inggeris di Sekolah Rendah Kebangsaan Benut. Pada tahun 1971, setelah sekolah ini wujud selama tujuh tahun, pelbagai masalah dan kesulitan telah dapat diatasi. Pada tahun ini jumlah penuntutnya ialah seramai 976 orang. Masalah kekurangan bilik darjah dan kelengkapan telah dapat diatasi apabila sebuah bangunan tambahan yang baru telah disiapkan pada akhir tahun tersebut. Bangunan ini mengandungi 6 bilik darjah. Bilik perpustakaan, bilik makmal, bilik masakan dan bilik jahitan. Dari segi pelajaran akademik, pada tahun tersebut pelajaran ilmu hisab moden telah diperkenalkan diikuti dengan pelajaran sains panduan dan pelajaran perdagangan pada tahun 1973. Jumlah murid sekolah ini telah meningkat kepada 1680 orang dalam tahun 1976, menjadikan sekolah ini sebagai sebuah sekolah yang bertaraf Gred A di daerah Pontian. Pertambahan murid ini perlulah diikuti dengan perkembangan fizikal dan kelengkapan yang lain. Gelanggang bola jaring dan sebuah surau telah disiapkan pada tahun 1976 yang berharga kira-kira RM8,000,00 hasil sumbangan derma Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini. Dalam usaha memajukan perkembangan akademik sekolah ini, PIBG memainkan peranan yang sangat penting. Dengan adanya daya usaha PIBG, Sekolah Menengah Benut telah banyak memberi sumbangan kewangan kepada pihak sekolah seperti memberi sumbangan kelengkapan-kelengkapan yang lain. Antara sumbangan terbesar PIBG ialah pembinaan bangunan serbaguna yang telah disiapkan pembinaannya pada akhir tahun 1979, dengan perbelanjaan sebanyak RM20,000,00.

Pembinaan akademik dan persatuan dapat dilaksanakan dengan lancar. Pada tahun 1979, juga sebuah bangunan makmal sains telah disiapkan. Hal ini adalah untuk memenuhi keperluan pelajaran aliran sains yang akan dilaksanakan pada tahun 1980. Tahun 1980 merupakan era baru dalam perkembangan sekolah ini. Pada tahun ini Pengetua, Tuan Haji Abdullah Bin Abd. Rahman telah menamatkan perkhidmatannya selama 11 tahun di sekolah ini. Beliau telah berpindah untuk memegang jawatan yang baru di Sekolah Menengah Tun Sardon di Rengit. Tempat beliau telah digantikan oleh Pengetua yang baru, iaitu Tuan Haji Hussien Bin Mahmood yang pernah menyandang jawatan Guru Besar dan juga sebagai Pegawai Bahasa Negeri, di Jabatan Pelajaran Johor. Tahun 1982, Tuan Haji Mohd Kosnin Bin Amat Kamari menerajui SMK Benut sehingga tahun 1990. Pada tahun 1991, Tuan Haji Baharudin Bin Awang sebagai Pengetua sehingga tahun 1995. Kemudian, pada tahun 1996, Puan Hajah Halidah Binti Haji Baba menerajui SMKB selama 10 tahun sehingga bersara wajib pada 14 Ogos 2006. Tempat beliau telah digantikan oleh Tuan Haji Hashim Bin Mohd Dom yang mentadbir SMK Benut bermula 16 Ogos 2006 sehingga 15 September 2007. Seterusnya, digantikan oleh Encik Ahmad Khairi Bin Paimin yang juga mentadbir bermula 16 September 2007 sehingga 16 Februari 2008. Tempat beliau seterusnya digantikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar yang memulakan tugas sebagai Pengetua SMK Benut pada 17 Februari 2008 sehingga 2 Mac 2011.

Setelah 45 tahun sekolah ini diasaskan, beberapa kejayaan telah diperoleh sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. SMK Benut bukan sahaja mencapai kejayaan di peringkat daerah tetapi juga di peringkat negeri dan kebangsaan. Kejayaan-kejayaan ini telah menempatkan tahap kepercayaan yang tinggi masyarakat di daerah ini kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Benut.

Pada 22 Februari 2010, warga Sekolah Menengah Kebangsaan Benut boleh membeli makanan dan minuman semasa waktu rehat di kantin yang lebih luas dan selesa dengan  kemudahan yang lebih baik. Kantin baru ini terletak di bangunan baru 3 tingkat (aras bawah) yang telah siap dibina pada akhir tahun 2009. Di bangunan ini juga terdapat makmal sains, dewan kuliah dan bilik guru bagi tenaga pengajar pelajar Pra Universiti.

Merealisasikan Kegemilangan dipilih sebagai tema SMK Benut bagi tahun 2008. Kemudiannya, SMK Benut turut merealisasikan visi sekolah selaras dengan visi Jabatan Pelajaran Negeri Johor, iaitu Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang.